Saiz Kabinet kecil, kurangkan gaji menteri

PUTRAJAYA 26 Nov. – Kerajaan Perpaduan akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil dengan pengurangan gaji menteri, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, langkah pengurangan gaji adalah susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

“Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai saiz Kabinet kecil dimaksudkannya itu termasuk dari segi bilangan kementerian atau menteri.

Isu saiz Kabinet menjadi bualan mengambil kira kerajaan Keluarga Malaysia diterajui Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang dilihat terlalu besar membabitkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan sebagai pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, selain 38 timbalan menteri.

Malah, Ismail Sabri turut menyatakan komitmen untuk mengecilkan saiz Kabinet beliau apabila menerajui kerajaan sekiranya mendapat mandat baharu melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan mengenai soal pembentukan Kabinet yang mana mereka akan mengusulkan nama yang diperlukan.

Sejurus itu, katanya, beliau akan memberi pertimbangan berdasarkan nama diusulkan parti masing-masing.

Ditanya mengenai jangka masa diperlukan untuk membentuk Kabinet, Anwar bagaimanapun berkata ia akan diselesaikan sesegera mungkin.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini, bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau tiba di sini pukul 9.52 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW hitam diiringi beberapa kenderaan pengiring polis.

Ketibaan Anwar yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping, selain memakai capal itu disambut Ketua Setiausaha Negara,  Mohd Zuki Ali.

Related posts

Leave a Comment