UMNO sertai Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Pada masa yang sama MKT juga memperkukuhkan sokongan terhadap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk terus kekal sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan dalam kenyataannya berkata, MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“MKT sebulat suara menyokong dan menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya.

Katanya, MKT juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun 2022 ini ialah pada 21-24 Disember 2022.

Related posts

Leave a Comment