KLANG 5 Feb. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar separuh daripada Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri dalam kalangan golongan profesional yang pakar dalam bidang tertentu.
Baginda berpandangan, Ahli Majlis bukan hanya melibatkan ahli politik, tetapi juga memerlukan golongan profesional dalam menyumbang kepada pembangunan sesebuah bandar.
“Ahli -ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan sesuatu kaum,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham, di sini hari ini. Turut hadir mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, baginda juga mengingatkan ahli-ahli majlis, Datuk Bandar dan juga kakitangan MBDK agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
“Jauhilah dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu,” titah baginda.
Di samping itu, mereka juga kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak,” titah baginda.
