Enam penjuru di Parlimen Padang Serai

KULIM 24 Nov. – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang ditangguhkan sebelum ini, akan menyaksikan persaingan enam penjuru selepas penamaan calon ditutup pukul 10 pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai,  Abdul Bari Abdullah, mengumumkan enam calon terbabit adalah Azman Nasrudin (PN), Sivarraajh Chandran (BN); Hamzah Abdul Rahman (Pejuang); Dr Mohamed Sofee Razak (PH), Sreanandha Rao (Bebas) dan Mohd Bakri Hashim (Warisan).

Pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian calon yang telah disahkan bertanding sebelum ini iaitu M Karupaiya (PH) pada 16 November lalu dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember depan dan pengundian awal 3 Disember, dengan tempoh berkempen selama 13 hari hingga pukul 11.59 malam 6 Disember bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding.

Sementara itu calon Warisan, Mohd Bakhri masih sah bertanding walaupun parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi berkenaan.

Sebelum ini, BERNAMA melaporkan Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr berkata, parti itu sudah memaklumkan kepada SPR berhubung keputusan itu tetapi , logonya kekal dalam kertas undi kerana parti itu sebelum ini memfailkan pencalonan untuk pengundian pada 5 November lalu.

Media melaporkan baru-baru ini bahawa Bakhri berkata, status pencalonannya akan diputuskan oleh kepemimpinan parti yang berpangkalan di Sabah berdasarkan keputusan keputusan PRU15 pada Sabtu dan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu.

Parlimen Padang Serai mempunyai 133,767 pengundi yang layak, dengan 81,230 pengundi ketika itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas manakala bakinya 52,546 pengundi di DUN Merbau Pulas.

Related posts

Leave a Comment