KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, Nabi Muhammad SAW meninggalkan Makkah atas perintah dan tuntutan Allah SWT, dan bukannya melarikan diri ke Madinah.
“Dalam kitab Fiqh Al-Sirah dikaryakan Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buti yang mentakrifkan hijrah di mana beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW tatkala hijrah ke kota Madinah bukanlah bermakna Rasulullah melarikan diri dengan hanya melarikan diri begitu, tetapi adalah atas perintah dan tuntutan Allah SWT.
“Istilah hijrah berbeza sangat dalam mana-mana terma dari segi agama berbanding dengan yang lain,” katanya dalam sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) sama ada kenyataan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang dilapor menyebut Nabi Muhammad SAW pernah menjadi ‘pelarian’ atau hijrah semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, boleh diklasifikasi sebagai menghina Rasulullah SAW.
Sementara itu, Ustaz Mohd Kazim Elias melalui Facebooknya berkata, tidak ada nabi yang lari meninggalkan perintah Allah SWT walaupun beratus tahun berdakwah sehingga dibunuh.
“Mengistilahkan Nabi SAW lari adalah sangat kurang sopan.Sedangkan perintah berhijrah adalah datangnya daripada Allah SWT,” katanya.
Katanya, Nabi SAW dialu-alukan oleh penduduk Madinah untuk berhijrah ke sana seterusnya membina sebuah negara Islam pertama. Di sana berlaku baiah antara Nabi SAW dengan penduduk Madinah pada musim haji untuk menjadikan Islam sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara.
“Baiah Aqabah inilah yg terjadi selepas beberapa kali rombongan Madinah melihat perjuangan Nabi SAW. Mana boleh dikatakan pelarian kalau adanya baiah dan undangan serta persetujuan bersama?” katanya,
Beliau bertanya adakah negara di dunia ini menjemput pelarian untuk dijadikan pemimpin negara mereka?
“Saya bukan berpolitik cuma saya tidak suka melihat dan mendengar nama Nabi SAW digunakan dengan cara tidak betul. Nabi mengajar kita bersopan.. maka bersopanlah. Termasuklah bersopan di dalam memberi komentar,” katanya