Anwar tolak gaji, bajet mini 19 Dis.

KAJANG 24 Nov. – Anwar Ibrahim akan mengotakan janjinya pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu untuk tidak mengambil gaji Perdana Menteri.

Perdana Menteri pada sidang media malam ini berkata, beliau memilih untuk menolak gaji sebagai langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat

“Saya telah umum langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak melihat menteri dan pemimpin, tanpa kira parti, agama, hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham, maka saya memilih menolak gaji Perdana Menteri,” katanya.

Anwar juga mengumumkan kerajaan akan membentang rang undang-undang (RUU) belanjawan mini pada 19 Disember depan bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Katanya, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

Selepas kelulusan RUU mini itu, beliau memaklumkan kerajaan dijangka membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan.

“Untuk bajet, kita perlu luluskan emolumen terlebih dahulu pada 19 Disember, supaya penjawat awam kita tidak bimbang.

Selepas itu, dalam kira-kira sebulan kemudian, kita akan bentangkan semakan bajet (Bajet 2023 yang menyeluruh),” katanya i.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan lalu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan diluluskan selepas bekas Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Susulan pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin, bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan.

Related posts

Leave a Comment