Anggota Kabinet tanpa kes mahkamah

KAJANG 24 Nov. – Kerajaan Perpaduan akan membincangjan dalam kalangan parti politik untuk tidak melantik Ahli Parlimen yang didakwa di mahkamah sebagai anggota Kabinet.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, menegaskan pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam isu itu adalah jelas.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan pentadbiran yang dibentuk ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan, beliau perlu berbincang terlebih dahulu perkara itu dengan parti gabungan yang lain.

“Itu ada dibangkitkan. Kalau dalam kalangan PH, pendirian kita jelas. Tapi oleh kerana ia babitkan isu Kerajaan Perpaduan, kita perlu berbincang (dengan parti gabungan).

“Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan. Apabila ada pendakwaan, jika ikut pendirian PH, sukar untuk kita teruskan (dilantik sebagai anggota Kabinet).

Tapi, bagi saya ruang untuk berbincang dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan ini secara terperinci,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 di sini, hari ini.

Mengenai pelaksanaan manifesto yang berbeza dalam kalangan gabungan dalam pentadbirannya, Anwar memaklumkan akan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama yang dibangkitkan semua gabungan dalam manifesto masing-masing.

“Ada beberapa isu teras yang kita tidak boleh kompromi, iaitu tadbir urus baik, usaha antirasuah, kebebasan kehakiman dan lebih penting adalah kebajikan rakyat biasa, termasuk isu kos sara hidup yang akan diuruskan secepat mungkin.

“Tidak banyak perbezaan (dalam isu teras). Ada niat yang baik (dalam semua manifesto), namun cabarannya adalah mengenai komitmen untuk melaksanakannya, seperti rasuah yang menjadi endemik dan bagaimana mengambil tindakan berkesan untuk menghentikannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment