Saarani kekal Menteri Besar Perak

KUALA KANGSAR 21 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan,  Saarani Mohamad, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar 5.40 petang ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan pelantikan Saarani yang juga bekas Menteri Besar penggal lalu.

Perak menjadi negeri pertama yang menteri besarnya mengangkat sumpah, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu di mana dua lagi negeri yang mengadakan pilihan negeri adalah Perlis dan Pahang.

Terdahulu, Saarani mewakili BN bersama ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari mewakili PH menyembahkan persetujuan sembilan ADUN BN dan 24 ADUN PH bagi pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu

Terdahulu, BN dan PH melalui kenyataan bersama bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Sultan Perak turut menitahkan wakil daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha PN Perak,  Zainol Fadzi Paharudin untuk menghadap.

Bagaimanapun PN yang memperoleh 26 kerusi mengakui tidak ada angka untuk menubuhkan kerajaan.

DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan Pas.

Saarani, Pengerusi BN Perak dan Pengerusi UMNO Perak adalah ADUN Kota Tampan sejak 2004 dan pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 10 Disember 2020.

Pada PRU15, Saarani mendapat 5,468 undi menewaskan Mohd Jamil Yahya (PN) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Saarani pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak dari tahun 2018 hingga 2020.

Antara pencapaiannya sebelum ini ialah membuat langkah yang mengejutkan banyak pihak, apabila mengumumkan peruntukan sama rata kepada semua 59 ADUN kerajaan dan juga pembangkang pada Disember 2020.

Peruntukan sebanyak RM200,000 kepada setiap ADUN itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Perak.

Pada Mac tahun lalu, beliau mengumumkan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, yang antara lain akan dijadikan asas memandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

Related posts

Leave a Comment