PN tidak tawarkan ‘peranan’ gabungan

KUALA KANGSAR 21 Nov. – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Perak, Saarani Mohamad mengakui dikunjungi Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Zainol Fadzi Paharudin, namun tidak ditawarkan sebarang peranan jika kedua-dua parti itu bersetuju bergabung membentuk kerajaan negeri.

Katanya, atas faktor itu, beliau menerima pelawaan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri, kerana ditawarkan jawatan sebagai Menteri Besar sekali gus membolehkan dirinya meneruskan perancangan ketika memikul jawatan itu sebelum ini.

“Pada jam 3 pagi malam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya dikunjungi Datuk Zainol Fadzi tetapi dia kata dia tak boleh buat apa-apa mandat.

“Sebab mandatnya hanya menguruskan perjumpaan saya dengan (Pengerusi PN Perak, Datuk Seri) Ahmad Faizal (Azumu) kerana dia cuma sebagai Setiausaha Perhubungan (PN Negeri).

Dia tak boleh buat keputusan dan minta saya berunding dengan Peja (Ahmad Faizal). Maka pada jam 10 pagi semalam sebelum hadir mesyuarat biro politik, saya berjumpa dengan Datuk Seri Peja dan Datuk Zainol (Fadzi)

“Saya memaklumkan kepada mereka saya diberikan tawaran peranan itu (menteri besar). Jika PN nak buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah. Sehingga semalam, saya tidak menerima apa-apa tawaran itu,” katanya pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, hari ini.

Saarani turut menjelaskan tawaran beliau terima bukan bermaksud dirinya gilakan kuasa, sebaliknya mahu meneruskan pelan dirangka ketika BN menerajui negeri ini.

Beliau berkata, UMNO dan BN pada asalnya bersedia untuk menjadi pembangkang kerana sedar mereka tidak mampu membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.

“Tidak betul (gila kuasa). Kami bersedia nak jadi pembangkang. Kami sedar diri dan sedia jadi pembangkang. Kita kalah. Kalau ada mana-mana parti menawarkan kami membentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah pasti saya kena terima.

“Kalau tidak terima, ahli akan cakap saya bodoh, peranan itu sesuai pada saya sebab saya adalah orang menerajui (pelan) Perak Sejahtera 2030. Saya nak meneruskannya, maka saya terima (tawaran sebagai menteri besar),” katanya.

Berhubung penggabungan BN dengan PH yang sebelum ini dianggap seteru utama, Saarani menjelaskan pihaknya akan turun padang ‘menjelajah’ seluruh negeri untuk memberi penerangan kepada ahli.

“Ini satu perkara (penggabungan BN-PH) yang mungkin mengejutkan tetapi maafkan mereka yang tidak faham sebab tak tahu apa keadaan sebenar berlaku,,” katanya.

Related posts

Leave a Comment