Dengarlah suara anak muda…

PEMBAHARUAN pimpinan UMNO perlu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Begitulah kata calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (KJ) dalam satu temu bual bersama radio BFM pagi semalam.

Ungkapan itu lebih menarik perhatian saya berbanding cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri (PM) dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi. Hasrat atau cita-cita itu sudah pun dicanang sejak beberapa hari lalu. Bukan sesuatu yang baharu.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah ketandusan pemimpin dan dalam kalangan mereka ada generasi belia yang berani dan lantang bersuara. Terima kenyataan itu secara positif. Berlapang dada dan jangan persulitkan keadaan.

Dengarlah suara anak muda itu walaupun agak terlewat ketika ‘peserta larian PRU15’ sudah menghampiri garis penamat, sekurang-kurangnya ada yang masih mahu ‘menjaga dan memulihkan’ UMNO yang diasak dengan pelbagai persepsi.

Isu rasuah atau kaki sakau dan kluster mahkamah, menjadi modal politik seolah-olah  seluruh organisasi itu bersalah sedangkan hakikatnya individu yang terlibat bukannya organisasi yang dianggap keramat itu. Tanggapan ini perlu dibetulkan.

Hakikatnya KJ dan mungkin ramai lagi masih mahu mempertahankan UMNO walaupun ada yang menyifatkan KJ berada dalam sebuah parti yang ‘salah’ . Maksudnya bukan di situ beliau dapat memperkembangkan kepemimpinannya.

Apa masalah UMNO sebenarnya? Orang UMNO sudah tentu tahu apa yang berlaku tetapi bagi Khairy, UMNO yang disertainya sejak lebih 20 tahun itu adalah sebuah parti yang bagus, ada pemimpin yang bagus, tetapi segelintir perlu berundur!

Dalam temu bual hari ini, KJ ditanya, jika beliau menang di Sungai Buloh dan BN membentuk kerajaan, bersediakah beliau menyertai Kabinet? Beliau dengan jelas menjawab bersedia jika Perdana Menterinya adalah Ismail Sabri Yaakob.

Sebabnya kerana Ismail Sabri dinamakan oleh UMNO dan BN. Maksudnya bukan Ahmad Zahid Hamidi atau orang lain yang sengaja ‘dinamakan’ sebagai PM oleh musuh BN sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Kenapa pihak di sebelah sana begitu beria-ia mahu menafikan keputusan UMNO dan BN menamakan Ismail Sabri sebagai PM? Kenapa begitu ghairah nama Ahmad Zahid ditonjolkan? Semuanya umpama sudah terang lagi bersuluh.

Justeru misi utama BN kali ini adalah untuk menang dan mengelakkan tragedi Mei 2018. Apabila menang bolehlah disusun semula agenda pembaharuan termasuk mengikis pelbagai pandangan serong terhadap UMNO.

Kemenangan BN jika menjadi kenyataan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bukan masih ‘mendabik dada’ dengan kemenangan. Kemenangan kalimini bukan mudah. Anggap itu  peluang kedua untuk mengembalikan kegemilangan UMNO.

Harus diingat di kiri kanan UMNO – PH dan PN – mahu membenamkan UMNO di muka bumi ini. Jika itu berlaku adakah pembaharuan lebih mudah atau sebaliknya?

Berikutan ‘keberanian’ itu, pemimpin MIC negeri Johor, S. Deva, 46 tampil menyokong keputusan KJ yang baginya mempunyai karisma untuk bergerak lebih tinggi di dalam hierarki parti seterusnya memperkenalkan ‘fomula baharu’ dalam penyusunan semula ‘struktur organisasi BN’

Ketua Penerangan MIC Negeri Johor itu berkata : “Suka ataupun tidak, kita semua di Barisan Nasional perlu menerima hakikat bahawa rakyat mula jelik dengan kaedah politik keras yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin dalam parti,”.

“Ketika kita masuk ke gelanggang PRU15, rakyat masih sayang dan sangat selesa dengan ideologi BN, namun mereka dalam keadaan dilema kerana tidak yakin dengan beberapa keputusan mengejutkan dalam proses pemilihan calon,” katanya.

Sikap sedemikian mengakibatkan  UMNO kehilangan pemimpin yang berwibawa dan akhirnya berkesudahan dengan penubuhan ‘parti politik baharu’ yang akhirnya hanya menanambahkan lagi musuh politik BN..

Malahan jika dilihat asal-usul pemimpin sebelah sana yang ada sekarang adalah individu yang berasal dari BN dan mereka sebenarnya adalah ‘mangsa perebutan kuasa’ dalam kalangan pemimpin lama.

Katanya, atas dasar itulah BN kini memerlukan Khairy  dalam usaha sejagat untuk memperbetulkan keadaan sebelum nasi menjadi bubur.

“Kita sebagai anggota parti telah diamanah dan dipertanggungjawabkan  oleh nenek moyang kita supaya menjaga ‘parti keramat Rakyat Malaysia’ ini yang telah memperjuangkan  kemerdekaan untuk tanah air ini .

“Kalau anda semua betul-betul sayangkan parti, Ahli Parlimen yang bergelar kluster mahkamah seharusnya berundur,  bukannya menjadi liabiliti kepada parti sama seperti isu 1MDB, ibarat lain orang yang makan nangka lain yang kena getah .

“Adakah kita tidak serik dengan kekalahan pada PRU14 dan enggan mengambilnya sebagai pengajaran ?,” katanya.

Bagi tujuan itu, Deva mengharapkan angin perubahan harus bermula di Sungai Buloh, kerana apa pun hanya BN yang mampu menjadi Kerajaan yang baik .

Justeru itu, sudah sampai masa ‘nakhodanya’ perlu diubah kerana bimbang kapal yang sedang belayar ini, terus hanyut di lautan yang luas .

Related posts

Leave a Comment