Siasat pencipta, penyebar kajian palsu

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pengerusi Barisan Nasional (BN),  Ahmad Zahid Hamidi menggesa laporan polis dibuat untuk menyiasat pencipta dan penyebar kajian palsu keputusan PRU15 yang menggunakan nama pelbagai pihak termasuk Bukit Aman.

Katanya, ‘hasil kajian’  tular itu juga menyebut MEIO, MKN malah US Embassy dan Indonesia Intel.

“Jika ini  benar-benar berlaku melibatkan negara luar  maka ini melibatkan kedaulatan negara. Sedangkan lazimnya jika ada kajian pihak keselamatan maka ia adalah di bawah Akta Rasmi Kerajaan (OSA).

“Keghairahan menggunakan agensi-agensi keselamatan negara adalah menunjukkan betapa terdesaknya kelompok tertentu ini untuk mendapatkan undi hingga sanggup menipu rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu perlulah diberikan pengajaran besar dan pastikan yang mendakwa parti tertentu mendapat kedudukan nombor 1 dan 2  ditolak secara besar-besaran.

Ahmad Zahid berkata, sebelum ini beliau telah memaklumkan terdapat survei yang tidak lebih sebagai propaganda untuk mempromosi parti tertentu dengan bersembunyi atas nama hasil penyelidikan atau institusi tertentu.

“Apabila didedahkan perkara ini beberapa hari lepas, kini muncul pihak tertentu  yang mencari cara lain untuk memberikan fakta palsu dan menipu rakyat. Menjelang hari mengundi semakin terdesak pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata penyebaran fakta palsu itu adalah untuk mempengaruhi pengundi  kononnya ia hasil daripada agensi keselamatan dan badan -badan penyelidik lain.

Katanya bagi yang naif mengenai propaganda politik sudah pasti percaya dan memenuhi matlamat pencipta dakyah palsu untuk menarik pengundi dalam usaha menenggelamkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap BN.

“Pencipta dakyah palsu ini tidak semestinya daripada  penyokong yang meletakkan kedudukan mereka paling tertinggi. Ia boleh juga dilakukan oleh penyokong yang meletakkan kedudukan parti mereka nombor 2.

“Hal ini boleh difahami agar pengundi akan memilih di antara nombor 1 atau 2 sahaja untuk petunjuk kepada pengundi,” katanya.

Beliau menggesa  penyokong parti tertentu yang terdesak ini supaya berkempen secara bertanggungjawab dan tidak menggunakan  taktik kotor untuk menipu pengundi.

“Cukuplah  negara kita hanya sekali kita diperintah 22 bulan dengan slogan mereka manifesto bukan kitab suci dan bersama sekutu mereka parti Bersatu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment