Pas yakin PN bentuk kerajaan

KOTA BHARU 16 Nov. – Pas berkeyakinan penuh Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada gabungan itu, kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata pihaknya percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

“Dengan kenyataan yang jelas ini, maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya menerusi kenyataan media di sini,

Pada masa sama, Takiyuddin turut menjelaskan kenyataan beliau berhubung penggabungan PN dan BN diambil di luar konteks manakala  tajuk laporan berkenaan juga mengelirukan pengundi.

Kenyataan itu muncul selepas Takiyuddin dilaporkan berkata, Pas akan bergabung dengan BN pasca PRU15 jika pihaknya tidak dapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Pendirian PAS adalah jelas, …akan bergabung dengan BN sahaja, bukannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya.

“Bagi kita atau mana-mana gabungan parti apabila mendapat majoriti mudah minimum sebanyak 112 kerusi, parti itu sendiri akan menubuhkan kerajaan.

“Kalau parti ini tidak mendapat majoriti mudah, parti akan bergabung dengan mana-mana pihak. pendirian PAS jelas,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu kemudian disanggah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan PN bertanding pada PRU15) untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

Muhyiddin menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan pasca PRU15.

Related posts

Leave a Comment