Letak jawatan bukan punca PH jatuh

PUTRAJAYA 12 Nov. – Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan peletakan jawatan oleh beliau sebelum ini bukan punca menyebabkan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata pihak yang menjatuhkan Kerajaan PH ialah Mahiaddin (Muhyiddin Yassin), Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali yang menarik keluar ramai ahli mereka dari PH sehingga hilang majoriti dan jatuh.

“Jadi salahkan Azmin, Hamzah dan Mahiaddin dan pengikut mereka yang terlibat dengan Langkah Sheraton yang menyebabkan Anwar tidak dapat jadi PM.

“Anwar juga bersalah kerana ia membuat Azmin dan beberapa ahli-ahli Parlimen PKR bersekongkol dengan Mahiaddin,” katanya melalui hantaran Facebooknya hari ini berhubung isu jawatan Perdana Menteri (PM) bagi Anwar.

Dr. Mahathir berkata, Anwar dan penyokong-penyokong PH tidak henti-henti menuduh beliau tidak menepati janji menyerahkan jawatan PM kepada Presiden PKR itu serta menyalahkannya kerana tidak bincang mengenai peletakan jawatan.

Beliau berkata jika Kerajaan PH tidak jatuh maka beliau boleh sahaja menamakan Anwar sebagai penggantinya sebagai PM..

“Contohnya di United Kingdom, negara yang sistem Westminsternya kita ikuti, apabila PMnya letak jawatan, parti yang memerintah tentukan siapa yang harus ganti.

Liz Truss baru-baru ini tidak bincang dengan pemimpin lain untuk letak jawatan. Dia letak jawatan apabila merasa tidak dapat sokongan. Begitu juga yang saya lakukan.

Bezanya, Parti Konservatif masih menjadi Kerajaan walaupun Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss letak jawatan. Sekarang Rishi Sunak jadi PM Kerajaan Konservatif,” katanya.

Beliau meminta Anwar supaya jangan asyik menyalahkan beliau berhubung jawatan PM itu.

Related posts

Leave a Comment