Tidak terperangkap helah letak calon Melayu

AYER HITAM 9 Nov. – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan permainan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon Melayu daripada DAP.

“Walaupun PH meletakkan wakil Melayu seperti di Parlimen Ayer Hitam tetapi di belakangnya adalah DAP. Ini bermakna satu undi untuk PH adalah satu undi untuk DAP. Jangan kita terperangkap dengan permainan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor,  Onn Hafiz Ghazi dan calon BN Ayer Hitam merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ismail Sabri berkata, BN perlu menewaskan calon PH di mana sahaja mereka bertanding untuk menyekat kemaraan DAP.

“Walaupun Ka Siong bukan Melayu , tetapi pakatan antara kita sejak zaman parti Perikatan dahulu sudah dimeterai dan walaupun calon daripada MIC dan MCA, kita adalah bersama kerana kekuatan BN adalah kesepakatan kaum antara parti di dalam BN.

“Jadi kita perlu berterima kasih kepada MCA dan MIC kerana apabila BN kalah PRU14 dan gagal menubuhkan kerajaan, MCA serta MIC tetap setia bersama UMNO,” katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan, rakyat perlu memilih parti yang boleh membangunkan negara dan memberi keistimewaan kepada mereka.

Katanya, ketika 22 bulan diperintah PH dan Perdana Menteri yang terdiri daripada Bersatu, pelbagai kemungkaran dilakukan, tetapi apabila BN memerintah semula, banyak perubahan dilakukan.

“Sebagai contoh di Johor, ketika PH perintah, mereka hanya bawa RM12 bilion pelaburan yang menyebabkan Johor jatuh di tempat keenam berbanding negeri lain

“Tetapi apabila kita perintah, pelaburan di seluruh Johor bernilai lebih RM60 bilion menjadikan ia negeri paling teratas berbanding negeri lain,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kejayaan itu adalah kerana BN berpengalaman untuk memerintah.

“Cuba banding dengan menteri mereka, apabila harga sawit jatuh, mudah jawapan dia, minum minyak sawit sesudu, harga getah jatuh, disuruh menoreh musim hujan,” katanya.

Selain itu, beliau mahu Johor kembali semula menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

“Saya pernah berucap di Johor dahulu dan katakan bahawa Johor benteng terakhir dari segi kekuatan UMNO kerana parti ini lahir di Johor. Saya katakan kalau Johor tumbang, maka seluruh negara tumbang dan ia berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai sentimen pengundi di Johor, Ismail Sabri berkata, berdasarkan laporan diterimanya, BN mampu menang sebahagian besar kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Johor ada kelebihan kerana kerajaan negeri masih ada dan di bawah BN. Jadi dari segi sentimen, nampak baik.

“Di Ayer Hitam nampak jelas, semangat dan sokongan kepada calon BN begitu kuat sekali dan saya yakin Ka Siong akan menang pada PRU15 ini,” katanya.

Malah Ismail Sabri turut memberi jaminan akan melantik semula Presiden MCA itu sebagai anggota Kabinet jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment