KUALA LUMPUR 13 Julai – Barisan Nasional (BN) akan menggunakan formula khusus, sesuai dengan landskap politik Negeri Sembilan termasuk dalam penentuan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) ke-16 pada 1 Ogos ini.
Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setiap negeri mempunyai realiti politik tersendiri dan tidak boleh disamakan.
Justeru katanya, strategi pemilihan calon di negeri itu tidak boleh disamakan dengan negeri lain kerana mengambil kira beberapa faktor penting termasuk jumlah kerusi, demografi penduduk dan komposisi pengundi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pendekatan yang digunakan perlu disesuaikan bagi memastikan BN meletakkan calon paling tepat mengikut keperluan setempat.
“Ini bukan sekadar soal calon. Situasi di Negeri Sembilan tentunya berbeza kerana jumlah kerusinya juga berbeza.
“Demografi kependudukan dan pengundi juga berbeza. Maka formulanya tentu harus disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan,” katanya selepas Majlis Amanat bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, senarai calon bertanding PRN Negeri Sembilan ke-16 akan diumumkan pada minggu ini.
PRU DN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini yang menyaksikan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan.
Pada PRN Ogos 2023, BN menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi dan Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi menerusi DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1).
Nnnn
