Kes harian Covid-19 melonjak semula

PUTRAJAYA 9 Nov. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini melonjak semula semalam dengan merekodkan 3,781 kes berbanding 2,521 pada hari sebelumnya menjadikan jumlah keseluruhan 4,937,534.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW, daripada jumlah itu, sebanyak 3,778 kes adalah penularan tempatan, manakala tiga lagi kes import.

Secara keseluruhannya, masih terdapat 36,250 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 95.1 peratus bersamaan 33,706 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 1,676 kes atau 4.7 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, unit rawatan rapi (ICU) 28 kes dan 47 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengikut laporan KKMNOW, sembilan kes kematian akibat jangkitan itu dilaporkan semalam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan 36,504 kematian dengan 7,773 kes BID.

Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 2,979 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,861,792 kes.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes tertinggi dengan 1,515 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 561, Negeri Sembilan 228, Wilayah Persekutuan Putrajaya 226, Melaka 212, Sabah 176, Perak 163, Kelantan 156, Kedah 145 dan Pulau Pinang 102.

Kes terendah pula di Perlis 2, Wilayah Persekutuan Labuan 3, Terengganu 63, Johor 67, Sarawak 80 dan Pahang 82.

Related posts

Leave a Comment