Bertembung GRS-BN keunikan politik Sabah

KOTA KINABALU 8 Nov. – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri itu seiring dengan amalan demokrasi di negara ini.

Pengerusi GRS, Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata ini termasuk keputusan Naib Presiden Bersatu,  Dr Ronald Kiandee untuk bertanding mempertahan kerusi Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“GRS tidak boleh menghalang sesiapa sahaja yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto PRU15 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

GRS dan Barisan Nasional (BN) meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Negeri Sabah pada PRU15 dengan pembahagian kerusi 13-12 namun Ronald mencalonkan dirinya mewakili PN di Beluran yang diperuntuk kepada calon BN,  Benedict Asmat.

Untuk rekod, Hajiji juga adalah Ketua Pimpinan Bersatu negeri dan Bersatu sebelum ini bersetuju menyerahkan kerusi Beluran untuk ditandingi BN.

Ronald memenangi kerusi Parlimen Beluran pada pilihan raya lalu atas tiket BN-UMNO sebelum sekumpulan wakil rakyat UMNO termasuk Hajiji meninggalkan parti sehingga hampir melumpuhkan UMNO Sabah.

Mengenai kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin hari ini yang dilaporkan berkata GRS tidak sepatutnya mengorbankan Parlimen Beluran ketika berunding dengan BN, Hajiji berkata itu adalah pendapat bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Keadaan politik di Sabah berlainan dan ada keunikan… kita olahkan politik di Sabah dengan cara kita di Sabah,” katanya.

Ronald, penyandang kerusi Parlimen Beluran selama lima penggal, berdepan saingan lima penjuru menentang Benedict, Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang mewakili Pakatan Harapan.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah menjalin kerjasama dengan BN bagi mentadbir negeri itu.

Related posts

Leave a Comment