Keprihatinan PM dapat sanjungan

BERA 6 Nov. – Keprihatinan dan sikap ambil berat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendapat pujian dalam kalangan penjaja, lebih-lebih lagi apabila golongan itu tidak terlepas dari menerima sebarang bantuan.

Pengerusi Peniaga Pasar Malam, Pasar Pagi Daerah Bera, Kamarulzaman Ismail berkata, pihaknya sangat bersyukur sebab Perdana Menteri sentiasa ada untuk mereka.

“Kalau saya mengadu masalah, tak pernah tak selesai. Kalau tak PM yang tolong, dia (PM) akan minta pegawai atau kakitangan yang bantu selesai.

“Setakat ni, memang tiada masalah besar. Cuma tadi, saya ada minta supaya tandas awam dapat disediakan di sini untuk kegunaan para penjaja di sini,” katanya.

Jelasnya, sikap keprihatinan Ismail Sabri bermula sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2009 lagi, dan berharap, keadaan itu berkekalan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak tidak pernah meminggirkan golongan penjaja dan peniaga kecil dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Justeru, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi bantuan one-off berjumlah RM1,000 seorang kepada 1 juta penjaja, peniaga kecil dan pemandu teksi di seluruh negara.

Ada banyak lagi kemudahan lain seperti pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan sebagainya.

“Ini adalah sebagai tambahan modal kepada mereka,” katanya selepas program walkabout di Pekan Sehari Kerayong, di sini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata, para penjaja dan peniaga kecil di kawasan Parlimen Bera juga tidak ketinggalan menerima bantuan kerajaan.

“Saya bersetuju dengan permintaan para penjaja apabila di kawasan ini yang tidak mempunyai tandas awam. Saya akan bawa perkara ini ke Majlis Daerah Bera (MDB) supaya dapat menyediakan tandas mudah alih di sini.

“Dulu, mereka berniaga di kawasan lain yang ada kemudahan tandas. Tapi selepas diubah, mereka terpaksa menumpang tandas-tandas kedai berdekatan,” jelasnya.

Related posts

Leave a Comment