“Bukan ahli UMNO, tarik diri kerana keluarga”

IPOH 6 Nov. – Penceramah bebas,  Mohammad Kazim Elias menjelaskan, beliau menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut adalah demi menjaga hubungan kekeluargaan.

Menurut Ustaz Kazim, 50, beliau mahu mengelak timbulnya masalah, susulan abangnya,  Mohd Najmuddin Elias bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu).

Katanya,  sebelum itu beliau sudah menyatakan prinsipnya kepada kepemimpinan BN bahawa beliau tidak akan bertanding sekiranya ada anggota keluarga lain yang bertanding dalam kawasan yang sama. Itu juga janji kepada ibunya.

“Saya menjaga keluarga dan hubungan keluarga mengatasi segala-galanya. Saya minta maaf kepada pengundi-pengundi Larut, “ katanya.

Mohammad Kazim berkata, pada mulanya beliau mengambil keputusan untuk menandatangani watikah sebagai calon BN Parlimen Larut tanpa mengetahui bahawa Najmuddin turut menandatangani watikah untuk mewakili parti lain.

“Selepas beberapa rundingan dan perbincangan dengan keluarga, saya mengambil keputusan untuk tandatangan watikah sebagai wakil BN tetapi abang saya pun tandatangan satu lagi watikah parti lain tanpa kami ketahui.

“Saya hormati dia dan beri laluan kepadanya,” katanya pada sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi.

Menurut Ustaz Kazim, surat penolakan tawaran itu lewat sampai ke tangan BN  menyebabkan pengumuman dibuat pada malam berkenaan.

Beliau juga menjelaskan tidak terlibat dalam politik dan tidak pernah menganggotai UMNO sehingga sekarang tetapi telah diminta membantu kerajaan BN oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Ahmad Zahid menjelaskan walaupun bukan anggota UMNO, tetapi pada PRU kali ini BN membuka peluang kepada bukan ahli  berdasarkan pengalaman seseorang yang akan dapat membantu BN jika membentuk kerajaan.

Untuk rekod DUN Batu Kurau terletak di bawah Parlimen Larut, selain DUN Selama dan Kubu Gajah.

Pada 2 November lalu, Mohammad Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, yang akan bertemu Auzaie Fadzlan Shahidi (Pejuang-Berjasa), Zolkharnain Abidin (PH-Amanah) dan  Hamzah Zainudin (PN-Bersatu).

Related posts

Leave a Comment