Keluarga wakil rakyat Malaysia

PUTRAJAYA 6 Nov. – Keluarga Anwar Ibrahim mendahului senarai calon yang mempunyai pertalian keluarga yang bertanding merebut kerusi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Pakatan Harapan (PH) selain menampilkan ‘keluarga Anwar’ turut mempunyai keluarga Lim dan Sing.

Anwar yang mula bertanding di Permatang Pauh pada 1982 diikuti Port Dickson dan kali ini di Tambun membawa bersama isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding di Bandar Tun Razak, lokasi ke tiga selepas Permatang Pauh dan Pandan.

Anak perempuan pasangan ini, Nurul Izzah pula memulakan langkah di Lembah Pantai dan berpindah ke Permatang Pauh, yang kini menjadi  kubu kuat PKR dan disifatkan kerusi tradisi keluarga Anwar.

Kali ini Nurul Izzah, 42, yang juga Naib Presiden PKR terus menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, 53, (BN-UMNO), Muhammad Fawwaz Mat Jan, 39, (PN-Pas) dan Mohd Nasir Othman, 64 (Pejuang-Putra).

Pengunduran bekas penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mengurangkan penyertaan keluarga Lim kerana dua ahli keluarga itu iaitu Lim Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan manakala adiknya Senator Lim Hui Ying akan bertanding merubut kerusi Parlimen Tanjong.

Selain itu, anak-anak kepada bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh turut disahkan berentap atas tiket PH iaitu penyandang Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan adiknya Gobind Singh Deo yang berpindah dari Parlimen Puchong ke Damansara.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahatahir Mohamad pula bakal mempertahan kerusi Parlimen Langkawi manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz yang merupakan Presiden Pejuang akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun.

Di Sabah, parti Warisan mencalonkan Presidennya Mohd Shafie Apdal bagi mempertahankan Parlimen Semporna dan adiknya Datuk Yusof Apdal kembali mencuba nasib di kerusi Parlimen Lahad Datu selepas tewas di kawasan terbabit sebagai calon BN pada PRU14.

Sementara aktivitis Orang Asal Sabah Datuk Vernon Bahanda tampil sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kudat dan abangnya Datuk Wetron Bahanda yang merupakan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat bertanding di Parlimen Kota Marudu.

Perlis pula menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding menggunakan logo Pas bagi mempertahankan Parlimen Arau manakala adiknya, Datuk Ismail Kassim, penyandang DUN Tambun Tulang kekal bertanding di DUN terbabit sebagai calon BN.

Shahidan yang merupakan penyandang Parlimen Arau tidak dinamakan sebagai calon kawasan itu selepas BN mencalonkan Datuk Rozabil Abd Rahman.

Related posts

Leave a Comment