Sekolah bersemuka berperingkat

PUTRAJAYA 12 Sept. – Pembukaan sekolah rendah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka bermula 3 Oktober depan, akan dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata kumpulan murid yang akan dibenarkan hadir ke sekolah tertakluk kepada fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, murid juga yang hadir ke sekolah tertakluk kepada sistem penggiliran, dengan setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan, yang akan hadir ke sekolah secara bergilir-gilir mengikut minggu.

Katanya, bagi negeri fasa 1 iaitu Kedah dan Johor, sekolah masih ditutup dan semua murid di negeri berkenaan perlu meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), sehingga status dua negeri itu bertukar ke fasa 2.

Untuk negeri dalam fasa 2, sesi persekolahan bermula 3 Oktober ini hanya bagi murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi, tanpa penggiliran.

“Bagi negeri fasa 3, sesi persekolahan bersemuka untuk murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi, serta murid prasekolah dan tadika swasta yang dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

Beliau juga memaklumkan, sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari tahun depan bagi membolehkan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.

Ini bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022.

“Contohnya, murid Tingkatan 1 tahun ini akan kekal hingga Januari dan Februari tahun depan, sebelum naik ke Tingkatan 2 pada Mac 2022.

“Begitu juga sekolah rendah, contohnya murid Tahun 6 tahun ini akan kekal sebelum boleh naik ke Tingkatan 1 pada Mac 2022.

“Satu kumpulan yang akan masuk lambat sedikit ke sekolah adalah pelajar Tahun 1 sesi 2022, yang mana mereka akan mula masuk ke sekolah pada Mac tahun depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment