Tiga penjuru di kawasan Parlimen Bera

BERA 5 Nov. – Parlimen Bera menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Tiada calon yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad bertanding di kawasan itu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Zaman Azam Mohamat Sarif, berkata pihaknya menerima borang pencalonan bermula jam 9.03 pagi.

Ismail Sabri Yaakob mewakili BN, manakala Abas Awang dan Asmawi Harun masing-masing mewakili PH serta PN.

Sementara itu, pertembungan empat penjuru berlaku bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai antara BN, PN, PH dan calon Bebas.

Kerusi DUN Triang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PH.

Kerusi Kemayan pula hanya melibatkan dua penjuru apabila hanya dua calon layak bertanding masing-masing dari BN dan PN, manakala calon PH, Manolan Mohamad ditolak kertas pencalonannya.

Calon bertanding menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, dekat sini.

Lebih 1,000 penyokong semua parti bertanding berkumpul di pekarangan dewan bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing.

Seramai 77,669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab 19 November depan.

Kerusi Parlimen Bera sebelum ini disandang Ismail Sabri sejak 2004.

Sementara itu, proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negara berjalan lancar.

Menurut Perdana Menteri, mengikut laporan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Tiada insiden tercetus terutama melibatkan kekecohan di pusat penamaan calon, keadaan tenang dan proses sempurna di seluruh negara,” jelasnya.

Seramai 36,935 pegawai dan anggota terlibat dalam memastikan kawalan Keselamatan di setiap pusat penamaan calon dalam keadaan terbaik.

“Terima kasih dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya menyelesaikan proses penamaan begitu juga Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya lagi selepas proses penamaan calon.

Related posts

Leave a Comment