Wan Junaidi akur pilihan parti

KUCHING 5 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akur dengan pemilihan Nancy Shukri untuk menggantikannya mempertahankan kerusi Parlimen Santubong.

Wan Junaidi berkata, sebagai orang parti, beliau tidak berhak membantah calon pilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) walaupun Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu tiada dalam senarai yang dicadangkan kepada pucuk pimpinan.

Beliau mengakui sudah menyediakan calon muda bagi menggantikannya dan melatihnya untuk menjadi wakil rakyat yang baik.

“Ya… saya memang sudah berusaha membentuk pengganti yang boleh bekerja sebaik saya, tetapi kalau parti tidak menerima (calon pengganti yang dicadangkan) sebab parti sudah memutuskan calon, kita tiada hak untuk kata tidak.

“Sebagai orang parti, kita harus akur dengan keputusan parti dan itu prinsip saya,” katanya pada sidang media di Bilik Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Menurut Wan Junaidi, sebaik parti menamakan Nancy untuk bertanding di Santubong, beliau bertekad untuk membantunya sepanjang tempoh berkempen.

“Sebab itu saya balik ke Kuching (dari Kuala Lumpur) hari ini, kerana saya akan mengiringi beliau ke pusat penamaan calon, esok,” katanya.

Mengenai pengundurannya sebagai calon pada PRU15 selepas 32 tahun menjadi wakil rakyat, Wan Junaidi berkata, ia adalah kehendak beliau sendiri dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pucuk pimpinan parti memaksanya untuk berundur.

“Tiada siapa, baik Premier (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) atau yang lain memaksa saya, tetapi saya sendiri yang mahu berundur ketika populariti saya berada di puncak.

“Saya mahu berehat seketika walaupun ada pelbagai tawaran datang selepas saya diumumkan untuk tidak lagi bertanding kali ini,” katanya.

Wan Junaidi menjadi wakil rakyat sejak 1990 bermula di Parlimen Batang Lupar di Sri Aman, kemudian bertukar kawasan dengan Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk bertanding di Parlimen Santubong pada 2004.

Related posts

Leave a Comment