GTA Perak tanding 12 kerusi Parlimen

IPOH 4 Nov. –  Gerakan Tanah Air (GTA) Perak akan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Mohd Fauzi Zulkifli.

Beliau berkata calon yang ditampilkan adalah anak tempatan berpengaruh dan mempunyai latar belakang pendidikan tinggi serta mempunyai keakraban dengan masyarakat setempat.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, calon Parlimen dan DUN GTA berpotensi tinggi untuk memenangi PRU15.

“Saya percaya, usaha GTA menawan Perak mampu dicapai melalui penampilan calon profesional, tokoh agama, peguam, doktor, pendidikan, termasuk anak muda,” katanya.

Beliau berkata, bagi kerusi Parlimen, GTA meletakkan Auzaie Fadzlan Shahidi, anak muda setempat di Parlimen Larut, manakala tokoh profesional, Dr Yusmalia Mohamad Yusof pula bertanding di Parlimen Kuala Kangsar.

Katanya, gabungan politik itu turut mencalonkan peguam, Mior Nor Haidir, yang juga Ketua Pejuang Negeri Perak di Parlimen Tapah, sementara Dr Faizol Fadzli di Parlimen Parit dan Parlimen Teluk Intan pula ditandingi Amir Khusyairi, seorang peguam yang mempunyai pengalaman bertanding sebelum ini.

Bagi kerusi Parlimen Pasir Salak, calonnya Zairol Hizam Zakaria, seorang tokoh anak tempatan yang mempunyai kekuatan ilmu politik dan hubungan kemasyarakatan.

Fauzi berkata, kerusi DUN pula antaranya ditandingi calon termuda berusia 25 tahun iaitu Dr Mahfuz Abdullah di Changkat Jong, yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan selain berpotensi mengimbangi usaha mendapat Undi18.

Katanya, seorang tokoh belia, Aswannudin Hariffudin, selaku Setiausaha GTA Perak yang pernah menyandang jawatan Presiden Majlis Belia negeri dan kini aktif dalam Yayasan Anti Rasuah Malaysia negeri turut dicalonkan di DUN Teja.

Related posts

Leave a Comment