SINGAPURA 21 Mei – Seorang penumpang maut dan sekurang-kurangnya 30 lagi cedera apabila pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow, London menuju Singapura mengalami gelora udara (turbulent) yang kuat.
Dalam satu catatan Facebook, SIA memaklumkan bahawa pesawat SQ 321 itu dilencongkan ke Bangkok untuk melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada pukul 3.45 petang, 21 Mei.
“Kami boleh mengesahkan bahawa terdapat kecederaan dan satu kematian di atas pesawat Boeing 777-300 ER.
“Kesemuanya, terdapat seramai 211 penumpang dan 18 kru di dalam pesawat. SIA mengucapkan takziah kepada keluarga penumpang yang meninggal dunia,” kata SIA dalam catatan itu.
Sebanyak 56 penumpang adalah warga Australia diikuti United Kingdom (47);
Singapura (41); New Zealand (23); Malaysia (16); Filipina (5); Ireland (4), Amerika Syarikat (4); India (3); masing-masing dua dari Indonesia, Myanmar, Kanada dan Sepanyol; masing-masing satu dari Jerman, Iceland, Israel dan Korea Selatan.
Penumpang yang meninggal dunia dalam pesawat SQ 321 itu adalah warga Britain berusia 73 tahun, kemungkinan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Sehingga 7.50 malam 21 Mei, seramai 18 orang dihantar ke hospital dan lagi 12 sedang dirawat di hospital, kata SIA dalam kemas kini Facebooknya.
“Kami meminta maaf mendalam di atas pengalaman traumatik yang dialami penumpang dan kru kami dalam penerbangan tersebut. Kami akan menyediakan bantuan yang diperlukan dalam masa sukar ini,” kata SIA.
SIA juga menambah bahawa ia sedang membantu semua penumpang dan kru pesawat itu, dan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan.
SIA juga akan turut menghantar satu pasukan ke Bangkok untuk menyediakan bantuan tambahan.
