Rohani digugur selepas 7 penggal

KUCHING 3 Nov. –  Ahli Parlimen Batang Lupar selama empat penggal Rohani Abdul Karim digugurkan daripada senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi itu juga tidak disenaraikan semasa pengumuman calon oleh Pengerusi GPS Abang Johari Tun Openg.

GPS akan bertanding bagi 31 kerusi Parlimen di negeri ini yang diwakili calon-calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari berkata Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Kanan PBB  Fadillah Yusof, masing-masing akan mempertahan kerusi Kapit dan Petra Jaya.

Naib Ketua Wanita PBB Nancy Shukri pula akan bertukar kerusi daripada Parlimen Batang Sadong ke Parlimen Santubong bagi menggantikan penyandangnya Wan Junaidi.

Manakala tempat Rohani akan diisi oleh Mohamad Shafizan Kepli.

Selain itu, turut diumumkan adalah Presiden PRS Joseph Salang Gandum yang dicalonkan semula bertanding di Julau, Presiden PDP Tiong King Sing pula akan mempertahankan kerusinya di Bintulu manakala Willie Mongin diumum mempertahan kerusi Puncak Borneo

Abang Johari berkata, calon-calon yang dikemukakan GPS pada kali ini terdiri daripada kombinasi mereka yang berpengalaman selain menampilkan 14 muka baharu serta lima calon wanita.

“Calon yang dikemukakan GPS ini datang daripada mereka yang berpengalaman, berumur pertengahan dan juga calon muda,” katanya.

PRU15 menyaksikan GPS buat kali pertama menggunakan lambang sendiri selepas pilihan raya negeri lalu.

Sebelum ini, anggota GPS adalah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) namun bertindak keluar selepas gabungan itu tewas pada PRU14.

Ketika itu, anggota komponen BN menang 19 daripada 31 kerusi ditandingi, bakinya dimenangi DAP dengan enam kerusi, PKR (4) dan bebas (2).

Related posts

Leave a Comment