Tee Keat, Chee Keong wakili Warisan

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Bekas presiden MCA, Ong Tee Keat, adalah di antara 26 calon Parti Warisan, dari Sabah yang akan bertanding di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Presiden Warisan Shafie Apdal ketika mengumumkan demikian berkata, Tee Kiat akan dicalonkan di kerusi Parlimen Pandan, yang dijangka turut ditandingi Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Selain itu, bekas wakil rakyat yang pernah menang atas tiket DAP dan PKR, Wee Chee Keong, turut dinamakan sebagai calon Warisan untuk bertanding di Parlimen Wangsa Maju.

Shafie berkata, antara kawasan Parlimen yang akan ditandingi Warisan di Semenanjung setakat ini adalah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis; Kuala Kedah, Pokok Sena, Alor Setar, Merbok, Padang Serai di Kedah.

Tasek Gelugor, Batu Kawan, Jelutong, Bayan Baru di Pulau Pinang; Gopeng, Tapah, Lumut di Perak; Ampang, Pandan, Hulu Langat, Klang di Selangor; Kepong, Batu, Wangsa Maju di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut diletakkan calon adalah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sekijang Johor.

Sementara itu, Tee Keat berkata, beliau kembali ke gelanggang politik dengan harapan mahu membawa acuan dan semangat bersatu padu rakyat Sabah dan Sarawak ke Semenanjung.

“Kita kagum dan nak tiru budaya di Sabah, dimana pelbagai kaum di Sabah boleh duduk semeja, kenapa tidak kita di Semenanjung? Kenapa tak boleh ikut jejak kawan-kawan di Sabah dan Sarawak?” katanya ketika berucap dalam Majlis Memperkenalkan Calon-Calon Warisan Kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada Selasa.

Tee Keat kecewa apabila pencalonan di bawah parti MCA dikaburi sentimen perkauman dalam kalangan pengundi khususnya di Ampang dan Pandan, sebelum ini.

“Pengundi harus sedar bahawa mereka mempunyai pilihan untuk mengundi parti yang tidak berasaskan isu perkauman atau agama,” katanya lagi.

Tee Keat meletak jawatan pada 2017 dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 dan empat penggal sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya dari 1989.

Related posts

Leave a Comment