Covid-19: Shanghai tutup taman tema

SHANGHAI 1 Nov. – Pengunjung Disney Resort Shanghai dilaporkan ‘terperangkap’ apabila taman tema itu menghentikan operasi serta-merta bagi mematuhi langkah pencegahan Covid-19 mulai semalam (Isnin).

Menurut laporan media, semua pengunjung dan tetamu yang ada di premis tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dan hanya dibenarkan beredar sekiranya keputusan pemeriksaan Covid-19 adalah negatif.

Bagaimanapun tidak dinyatakan jumlah mereka yang ‘terperangkap’ dalam penutupan kali kedua ini selepas Disney Resort Shanghai ditutup selama tiga bulan awal tahun ini.

Untuk rekod ketika taman tema itu ditutup selama dua hari pada November tahun lalu, sebanyak lebih 30,000 pengunjung terperangkap di dalam.

Menurut Disney Resort Shanghai, operasi dihentikan bermula pukul 11.39 pagi waktu tempatan (03:39 GMT) dan kawasan sekitarnya termasuk premis beli-belah bagi mengekang penularan wabak.

Menerusi akaun WeChat rasminya Kerajaan Shanghai memberitahu taman tema itu menghalang orang ramai daripada masuk atau keluar dan semua pelawat di dalam tapak itu perlu menunggu keputusan ujian mereka sebelum keluar.

Sementara itu, pengunjung  yang datang ke taman tema itu sejak 27 Oktober perlu melakukan ujian Covid-19 tiga kali dalam tempoh tiga hari.

Sabtu lalu, Disney Shanghari Resort memaklumkan mengurangkan tenaga kerja dan memendekkan waktu operasi dalam mematuhi langkah keselamatan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment