PH yakin menang 100 kerusi

IPOH 31 Okt. – Pakatan Harapan (PH) kini memberi fokus untuk memastikan kemenangan di 12 lagi kerusi Parlimen bagi memperoleh majoriti mudah 112 kerusi membentuk kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini gabungan parti itu yakin boleh menang di 100 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, dapatan hasil kajian terkini Pusat Inisiatif Dasar Invoke (Invoke) itu menunjukkan PH mampu menguasai kerusi-kerusi Parlimen berkenaan daripada parti lawan.

“Kajian akhir Invoke yang diumumkan hari ini, kita dah capai 100 kerusi (Parlimen) (boleh kuasai).

“Kita hanya perlu usaha, tolak sedikit lagi untuk dapatkan 12 kerusi dan kita sangat berharap (menang) insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Jelajah Mega Harapan Perak di Pasar Tambun di sini semalam.

Anwar yang juga Presiden PKR itu mengakui, mereka perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan kerana PH berdepan dengan saingan kuat yang disifatkan sebagai gergasi.

“Kita lawan gergasi dan kaya, mana ada mereka buat perjumpaan macam kita, lihat penamaan calon, kalau PKR buat tepi padang, bila renyai habis basah.

“Tetapi tengok Perikatan Nasional (PN), hotelnya bukan lima bintang, tetapi tujuh bintang, BN juga begitu.

“Jadi kita kena fahamlah, tak boleh pandang ringan. Kalau nak ubah, selamatkan rakyat kita kena terima kenyataan bahawa jika kita tidak kerja keras, kita susah nak capai kemenangan itu,” katanya.

Anwar yang mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun memaklumkan bahawa kawasan Tambun kini telah menjadi ‘rumahnya’ dalam perjuangan politik.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat meluangkan masa dengan lebih kerap berikutan tangungjawanya membantu kempen PH di seluruh negara.

“Saya nak minta maaf kerana nanti tidak boleh tiap-tiap malam di sini. Esok saya diminta berada di Sabah, lusa di Sarawak selepas itu Terengganu dan Kelantan.

“Kalau nak menang PH, saya kena buat begitu (kempen seluruh negara), jika tidak nanti menang di Tambun, kalah di tempat lain pula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment