UPKO dapat lima kerusi di Sabah

PENAMPANG 31 Okt. –  Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),satu-satunya parti tempatan yang menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) diperuntukkan lima kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran berkata, secara dasarnya beliau menerima keputusan yang sudah diputuskan PH.

“Bercakap soal puas hati memang saya ingat tiada yang puas hati. Parti-parti komponen lain dalam PH juga mesti tetap timbul rasa kurang berpuas hati.

“Kita sudah meminta beberapa kerusi dan sebenarnya kita dalam UPKO ini sangat praktikal dengan kerusi kita tandingi kerana mahu menang. Bagaimanapun, kita akur selepas keputusan dibuat,” katanya pada pengumuman calon UPKO di sini, hari ini.

Empat lagi calon lain yang mewakili UPKO adalah Naib Presiden UPKO pusat, Datuk Ewon Benedick (Penampang); Setiausaha Wanita UPKO Pusat, Rowindy Lawrence (Kimanis); Ketua Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang (Beluran) dan Timbalan Setiausaha Agung UPKO, Dr Peter Jr Naintin (Libaran).

Selain UPKO, tiga lagi komponen PH iaitu PKR mendapat 11 kerusi, disusuli DAP tujuh, Amanah (1) dan MUDA (1).

Amanah mendapat kerusi Parlimen Sipitang yang bakal ditandingi pengerusinya, Lahirul Latigu, selain turut mewakili PH di Wilayah Persekutuan Labuan.

DAP sudah mengesahkan tiga kerusi disandangnya iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom bakal dipertahan penyandangnya, masing-masing oleh Chan Foong Hin, Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Empat kerusi lain yang bakal ditandingi parti itu ialah Keningau, Batu Sapi, Papar dan Lahad Datu, masing-masing diwakili muka baharu.

PKR berkemungkinan besar bertanding di 11 kerusi termasuk dua kerusi disandangnya iaitu Tawau dan Putatan yang masing-masing akan dipertahankan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari.

Kerusi lain yang bakal ditandingi PKR di Sabah ialah Beaufort, Pensiangan, Ranau, Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan manakala Kota Marudu,  diberikan kepada MUDA.

Related posts

Leave a Comment