Kemelut PBM selesai menjelang 5 Nov.

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kemelut yang melanda Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diselesaikan secara dalaman dan dijangka mencapai kata sepakat menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November ini.

Zuraida Kamaruddin yang mendakwa masih memimpin parti berkenaan, isu itu dijangka dimuktamadkan secara dalaman, termasuk jawatan presiden dan penggantungan keahliannya oleh seorang lagi Presiden Larry Sng.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di sini semalam mengenai keputusan PBM bertanding secara solo selepas hasrat menyertai Barisan Naional (BN) masih dalam pertimbangan.

Ahad lalu, Larry mendakwa, beliau masih Presiden PBM, manakala Zuraida yang sebelum ini dinamakan sebagai presiden pengganti, diumumkan secara rasmi sebagai presiden menggantikan Ahli Parlimen Julau itu pada 7 Oktober lalu.

Berikutan kemelut itu, Larry menggantung Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti, berkuat kuasa serta-merta selepas mereka didapati menjejaskan kedudukannya dalam parti dengan mengadakan pertemuan tanpa pengetahuannya.

Penyandang kerusi Parlimen Julau itu, mendakwa mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Oktober lalu adalah sebahagian daripada usaha untuk menggantikannya dengan Zuraida, namun rekod Pendaftar Pertubuhan (RoS) terkini menunjukkan beliau masih lagi Presiden PBM.

Katanya, keputusan mesyuarat itu dikatakan melantik Zuraida sebagai presiden sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong.

Media sebelum ini juga melaporkan, Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

Katanya, pertikaian mengenai jawatan Presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan RoS.

“Itu hal dalaman parti mereka, jika ada pertikaian mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan RoS, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment