Mutalib mohon maaf isu kerusi MUDA Tapah

IPOH 31 Okt. – Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman memohon maaf di atas kekhilafan yang telah berlaku berikutan pengumuman bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau menjelaskan bahawa kerusi P72 Tapah akan ditandingi calon PKR, bukan MUDA seperti dinyatakan sebelum ini.

Bagaimanapun beliau akan bertanding pada pilihan raya kali ini di kawasan luar bandar dan yang dimiliki menteri yang lain bukan di Tapah yang melibatkan Menteri Sumber Manusia M.Saravanan.

“Justeru, saya memohon maaf di atas segala kekhilafan yang telah berlaku. Mengaku salah dan mohon maaf, petanda jiwa yang berani. Berani mengubah kesalahan ke arah kebaikan adalah langkah awal menuju kejayaan,” katanya.

Semalam, berikutan kenyataan Mutalib, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim menjelaskan hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi PH, kerusi Parlimen Tapah akan ditandingi calon PKR bukan MUDA.

Anwar berkata rundingan terakhir telah memutuskan mengekalkan Tapah bagi PKR bersama beberapa kerusi lain seperti Sungai Siput dan Sembrong.

Menurutnya, Naib Presiden PKR, K Saraswathy akan bertanding di Tapah, S Kesavan di Sungai Siput dan Sembrong ditandingi Hasni Abas.

“Tadi ada pengumuman di pihak MUDA, tetapi perkara itu tidak betul. Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) (Presiden MUDA) telah maklumkan kepada saya bahawa pengumuman itu tidak mewakili MUDA.

“Tapah memang kerusi Keadilan (PKR) dan untuk kerusi MUDA, diputuskan selain Muar, Tanjong Karang dan Tanjung Piai… lain-lain akan diumumkan kemudian,” katanya semalam.

Related posts

Leave a Comment