Lebih setahun tanpa kes tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN 1 Jun – Satu lagi kes import Covid-19 disahkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di Brunei Darussalam meningkat kepada 244 kes.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya berkata, kes melibatkan seorang lelaki berumur 33 tahun yang tiba ke negara ini dari Manila pada 19 Mei 2021.

“Kes ini tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan. Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu ini memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik sahaja tiba ke negara ini,” kata kenyataan itu.

Melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 itu, Kementerian Kesihatan juga memaklumkan, Brunei Darussalam mencatatkan 391 hari kes tempatan sifar, selepas kes terakhir jangkitan tempatan dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Setakat ini, sebanyak 103 kes import dicatatkan, iaitu sejak kes terakhir jangkitan tempatan berkenaan dilaporkan.

Sebanyak 10 kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan dalam keadaan  baik. Sehubungan itu, jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini seramai 231 orang.

Sementara itu, seramai 688 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, dan 19,135 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

 

Related posts

Leave a Comment