Naib Presiden Bersatu keluar parti

AYER KEROH 30 Okt. – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan keluar parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang walaupun sudah dijanjikan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Menurut Mohd Rafiq, beliau sebaliknya diberi peluang untuk bertanding di beberapa kawasan alternatif termasuk di Bagan Datuk, kawasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, surat rasmi berhubung peletakan jawatannya juga telah diserahkan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti yang dilakukan di Tangga Batu sejak enam tahun tidak diberi pertimbangan adil dan sewajarnya,” katanya pada satu sidang media di sini.

Mohd Rafiq mendakwa sebagai Naib Presiden, beliau sepatutnya diberi keutamaan  untuk diberi peluang sebagai calon di kawasan yang dipimpin tetapi tindakan pucuk pimpinan itu tidak lagi menghormati struktur parti.

“Setelah memikirkan secara mendalam dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan, ahli-ahli parti serta keluarga saya, maka dengan ini saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Bersatu,” katanya.

Begitu juga dengan jawatan lain termasuk Pengerusi PN Tangga Batu dan Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu serta berhenti sebagai ahli seumur hidup Bersatu.

Desas-desus Mohd Rafiq bakal membuat pengumuman keluar parti tersebar sejak berapa hari lalu, namun pagi tadi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan Mohd Rafiq telah menyatakan taat setia kepada Muhyiddin.

“Malam semalam saya tengok dalam kumpulan WhatsApp, beliau sebut bahawa beliau taat dan setia kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selaku Presiden Bersatu.

“Jadi spekulasi mengatakan beliau nak umum keluar parti itu, saya tak dapat nak pastikan.

“Saya harap beliau sebagai seorang sahabat, (Mohd Rafiq) kekal istiqamah dalam apa juga keadaan untuk terus bersama sama dengan Bersatu dan PN (Perikatan Nasional) yang akan ambil bahagian dalam PRU yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dilaporkan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan timbul desas-desus kononnya Mohd Rafiq dikatakan bakal membuat pengumuman keluar parti dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment