Mutalib MUDA dijangka berdepan Saravanan

TAPAH 30 Okt. – Seorang lagi anak muda MUDA dijangka mencabar calon pilihan raya bertaraf menteri apabila parti itu mengumumkan akan mempertaruhkan Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman untuk bertanding di kerusi Parlimen Tapah.

Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai status kerusi  Parlimen Tapah dan Sungai Siput di Perak serta Sembrong di Johor.

Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan adalah kubu kuat Barisan Nasional yang kini disandang oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

“Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘MUDA melawan Menteri’ sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi MUDA, saya, dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen Tapah ini,” katanya hari ini.

Menurutnya, setiap hari beliau mengulang kenyataan bahawa beliau akan berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.

“Perjuangan yang lebih baik bermula dengan perlaksanaan kata-kata (walk the talk),” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment