DAP di Jerai: Phahrolrazi tidak berseorangan.

GURUN 30 Okt. – Bekas Pengerusi Amanah Kedah,  Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan beliau tidak berseorangan dalam menghadapi isu pemecatannya berhubung bantahan pencalonan calon DAP di Parlimen Jerai.

Justeru beliau mengingatkan pemimpin parti berkenaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah terhadap dirinya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu, beliau sebelum ini menyertai Amanah secara berkumpulan dan mempunyai ‘kabilah’ sendiri menerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA).

Katanya, pemecatan berkenaan juga memungkinkan bilangan ahli Amanah di negeri itu semakin kecil, malah turut akan memberikan kesan terhadap parti berkenaan di Terengganu dan Kelantan.

“Rakan-rakan (yang bersama) saya (adalah di dalam) jumlah besar, saya (sebelum ini) masuk Amanah secara kumpulan, saya ada ‘kabilah’… juga Kelantan, Perak dan Selangor, kalau (sebelum ini yang) mengikuti PASMA, saya maklumkan ia sekarang masih wujud.

“Jadi apabila Amanah pecat saya, jangan underestimate saya, saya bukan seorang, saya tidak tolak kemungkinan Amanah Kedah akan jadi lebih kecil, saya tidak fanatik terhadap mana-mana parti, ia hanya vehicle (politik) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas di Pejabat Amanah Jerai, Pekan Guar Cempedak, pada Ahad.

Dalam pada itu, Phahrolrazi memaklumkan lebih separuh kepemimpinan Amanah menyokong beliau dalam membantah pencalonan calon DAP di Parlimen Jerai.

Mengulas mengenai pemecatannya dirinya daripada Amanah, beliau menyatakan tidak bersedih dengan keputusan itu memandangkan tindakannya hanyalah untuk mempertahankan kepentingan parti.

Tambahnya, tindakan untuk terus mendesak agar kerusi Parlimen Jerai diberikan kepada Amanah akan diteruskan selepas ini dan beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai rayuan kepada parti itu.

Beliau turut mengesahkan ada menerima tawaran daripada beberapa parti lain sebaik sahaja beliau dipecat daripada Amanah.

Related posts

Leave a Comment