Kempen jangan sampai menipu rakyat

IPOH 28 Okt. – Khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri ini mengingatkan calon, penyokong dan petugas parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak  menipu rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang gagal ditunaikan.

Pada masa yang sama, khutbah bertajuk “Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara” juga meminta mereka sentiasa mematuhi atau menghormati dengan tidak mensensasikan isu agama dan kaum untuk meraih laba politik.

Ini kerana tindakan itu boleh menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

Khatib turut mengingatkan dalam tempoh berkempen nanti, mereka yang terlibat tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah untuk mendapat sokongan pengundi

serta tidak menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan.

Begitu juga mengelakkan semasa berkempen, perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau bilau atau mencetuskan sengketa mengganggu dan mengugut pihak lawan.

Kempen pilihan raya juga perlu mengelakkan penggunaan masjid, surau dan institusi agama Islam sebagai tempat berkempen.

“Mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan petugas antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam, Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai Masjid dan Surau serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Khutbah itu juga mengingatkan pengundi bahawa memenuhi tanggungjawab untuk mengundi adalah fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut .

Menurut khutbah itu lagi, Islam ialah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu ummah lakukan.

“Meskipun al-Quran dan hadis tidak memperincikan kaedah atau cara memilih pemimpin, akan tetapi al-Quran dan hadis serta sarjana Islam memberikan gambaran mengenai siapakah orang yang seharusnya dipilih dan seterusnya ditaati,” katanya.

Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.

Di samping itu majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup membolehkan pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi.

Bagi anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi, mereka sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran menyempurnakan tanggungjawab mengundi.

Selain itu, budaya politik yang sihat sangat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.

Khutbah juga menjelaskan pilihan raya membolehkan rakyat memilih dan menyerahkan amanah kepada insan pilihan mereka setelah calon memperkenalkan diri serta membentang  manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika diberikan peluang memerintah.

Related posts

Leave a Comment