Bulan Sabit Merah UAE bantu bina rumah

PEKAN 28 Okt. – Lebih RM12.1 juta diperuntukkan bagi membina 123 unit rumah di tujuh daerah iaitu Lipis, Jerantut, Maran, Pekan, Raub, Temerloh dan Bentong, sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Emiriyah Arab Bersatu (UAE ).

Rumah berkeluasan 750 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta perabot, melibatkan rumah setingkat bernilai RM75,000 dan rumah bertiang bernilai RM100,000.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang.

Majlis berlangsung di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Temai Hulu.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Pengerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE Dr Hamdan Musallam Al Mazrouei.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang Ismayati Ismail, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria dan Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda berharap agar pihak kontraktor yang terlibat menyegerakan pembinaan rumah tersebut sebelum ketibaan musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

“Penerima juga harus bersyukur dengan pemberian ini kerana bukan semua orang dapat rumah seperti ini. Jangan pula bila terima rumah timbul soal nak jual datang ke fikiran kita… kalau boleh rumah ini biarlah sampai ke anak cucu,” titah Seri Paduka.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE, khususnya Presiden Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, atas sumbangan itu yang dilihat terhasil daripada keakraban hubungan Seri Paduka dengan Sheikh Mohamed Zayed.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima sembah taklimat daripada Ismayati yang memaklumkan projek itu merupakan sumbangan kerajaan UAE kepada mangsa banjir.

Related posts

Leave a Comment