Hanipa Maidin kekal atau gugur

KANGAR 28 Okt. – Selepas beberapa nama pemimpin Amanah ‘selamat’ kerana kekal dicalonkan, kedudukan penyandang kerusi Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin terus menimbulkan tanda tanya sama ada digugurkan atau kekal.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dilihat masih berteka-teka mengenai kedudukan itu apabila hanya memaklumkan calon Pilihan Raya Umum (PRU) boleh berubah dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, timbul desas-desas kononnya Mohamed Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) tidak akan dicalonkan semula.

Sebaliknya nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya adalah Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah al-Jundi.

Ditanya sama ada punca Mohamed Hanipa bakal digugurkan adalah sebab kesihatan, beliau menegaskan, ramai lagi wakil dalam Amanah yang masih berkelayakan untuk bertanding sekiranya penyandang kerusi Parlimen Sepang itu tidak bertanding kali ini.

“Berkenaan calon ini, ia boleh berubah dari semasa ke semasa dan kita ikut keperluan kerana dalam Amanah, terlalu ramai orang berkelayakan. Jadi kita boleh pergi (pilih) kepada sesiapa sahaja yang dianggap layak,” katanya.

Parlimen Sepang dikatakan turut diintai Ketua Srikandi Bersatu,  Rina Mohd Harun yang dijangka berpindah dari Titiwangsa.

Related posts

Leave a Comment