Ku Li dipanggil sebagai individu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Setiausaha Politik Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Ghani berkata, pertemuan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Tengku Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

“Semalam Yang di-Pertuan Agong menitahkan Tengku Razaleigh untuk menghadap di Istana Negara kemudian baru beliau pergi (semalam). Perbincangan itu melibatkan empat mata untuk Tengku Razaleigh beri pandangan, sekadar itu sahaja yang saya tahu.

“Tengku Razaleigh dipanggil menghadap atas kapasiti individu yang paling berpengalaman, paling matang, lama dalam politik dan individu yang pernah bekerja dengan semua Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama.

Mohd Lokman turut menjelaskan, pertemuan itu tidak ada kena mengena dengan kedudukan Tengku Razaleigh, 83, sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno mahupun sebagai wakil parti itu.

Semalam, kenderaan yang membawa Tengku Razaleigh, dilihat keluar dari Pintu Dua Istana Negara, pada 2.40 petang selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah pada sebelah pagi.

SEMENTARA itu pertemuan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok, ditangguhkan.

Ahmad Zahid ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pertemuan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
“Ditangguhkan. Tarikh belum ditentukan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datoh melalui Telegram hari ini, 14 Oktober 2020.

 

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!