Percaturan muka lama, baharu, Melayu DAP

MENJELANG hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), DAP terus melakukan percaturan calon-calonnya dalam misi menawan Putrajaya sekali lagi, mengulangi kejayaan 2018 seterusnya membenam Barisan Nasional (BN).

Begitu juga PKR yang mula membuka gelanggang dengan menampilkan profesional tertentu bagi ‘memanaskan’ suasana pilihan raya pada musim sejuk dan dingin ini.

Percaturan DAP kali ini termasuk menukar pemimpin atau wakil rakyat sebelum ini ke kawasan baharu di samping menurunkan muka-muka baharu atau menonjolkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertanding di Parlimen.

Beberapa ‘muka lama’ juga digugurkan atau sama ada tidak menawarkan diri atau bersedia untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan. Tidak bertanding kali ini termasuk Tony Pua (Damansara) dan Charles Santiago (Klang).

Santiago akan digantikan oleh ADUN Kota Kemuning yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau.

Tidak ketinggalan strategi DAP pada kali ini menampilkan lebih ramai calon Melayu termasuk di kawasan yang dikuasai UMNO. Sehingga semalam, dua calon Melayu sudah menembusi kerusi yang diperuntukkan kepada kaum Cina sebelum ini.

Setakat ini pemimpin tertinggi DAP yang terlibat dalam percaturan kawasan pilihan raya adalah Timbalan Pengerusi Kebangsaan Gobind Singh Deo yang berpindah dari kawasan tradisinya di Puchong ke kerusi Parlimen Damansara.

Tempatnya pula akan diisi oleh bekas Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika pentadbiran PH, Yeo Bee Yin, yang sebelum ini di kawasan Parlimen Bakri.

Gobind yang mewakili Puchong selama tiga penggal berturut-turut menggantikan Tony Pua yang tidak bertanding pada kali ini.

Pada PRU lalu Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi dengan memperoleh  60,429 mengalahkan calon BN 12,794 dan Pas 10,255 manakala di Damansara, DAP menang majoriti 106,90 selepas Tony Pua memperoleh 121,283 undi berbanding BN 14,380 dan PRM hikang deposit dengan 617.

Ini bermakna perpindahan tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada kedudukan Gobind dan Bee Yin pada penggal akan datang kecuali berlaku ‘keajaiban’ kepada calon mewakili BN, PN atau GTA.

Bagi wakil Melayu, DAP turut mempertaruhkan peguam, Syahredzan Johan, yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi sebagai calon muka baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr Ong Kian Ming di Bangi.

Syahredzan merupakan calon Melayu ketiga yang diumumkan setakat ini bagi kerusi Parlimen selepas dua calon lain di Pahang iaitu Young Syefura Othman dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Young Syefura Othman atau Rara dipertaruhkan di kawasan Parlimen Bentong yang sebelum ini diwakili Wong Tack juga dari DAP manakala Rara sebelum ini adalah ADUN Ketari, juga dalam kawasan Parlimen Bentong.

Tengku Zulpuri Shah pula meninggalkan kawasan Parlimen Raub untuk ke Lipis seterusnya membuka laluan kepada bekas ADUN Tras Chow Yu Hui.

Berbanding Rara dan Syahredzan, cabaran Tengku Zulpuri Shah yang juga Timbalan Setiausaha Agung itu lebih getir kerana terpaksa berhadapan dengan kawasan milik Barisan Nasional (BN). Ini menyebabkan beliau juga dijanjikan kerusi DUN Pahang.

Mengikut rekod, kali terakhir DAP meletak calon di kawasan Lipis ialah pada PRU7 (1986) di mana calonnya Woo Chee Wan memperoleh 3,773 undi manakala calon BN , Wang Choon Wing memperoleh 13,533 undi.

Pada PRU lalu, calon BN, Abdul Rahman Mohamad memperoleh 13,995 undi, menang dengan majoriti 6,569 undi mengalahkan calon PKR dan Pas. Mungkin perpecahan undi kepada PN dan BN memudahkan laluan DAP.

Rara pula dengan sokongan kawasan DUN diwakilinya dijangka dapat membantu malahan mampu melakukan kejutan sekiranya pengundi tiada lagi simpati kepada Wong Tack yang akan bertanding Bebas.

Bagi Syahredzan pula, beliau dijangka tidak menghadapi masalah besar berikutan calon PRU lalu, Dr Ong Kian Ming memperoleh 102,557 undi, menang dengan majoriti 68,768 undi. DAP dalam keadaan selesa jika undi berpecah kepada BN, PN dan GTA.

Bagaimanapun ia bergantung kepada siapa yang diturunkan oleh PN, BN dan GTA. Pada PRU lalu calon Pas Ustaz Shafie Ngah memperoleh 33,789 undi, Liew Yuen Keong (BN) 19,766 manakala Dennis Wan (PRM) hilang deposit dengan 215 undi.

DAP dijangka mengemukakan beberapa lagi nama Melayu untuk PRU kali ini seperti yang pernah dinyatakan oleh pemimpin-pemimpin parti itu sebelum ini.

Untuk rekod, DAP mempunyai beberapa wakil rakyat Melayu lain iaitu Zairil Khir Johari (DUN Tanjung Bungah); Dr Abdul Aziz Bari (DUN Tebing Tinggi); Sheikh Umar Bagharib Ali (DUN Paloh);  Edry Faizal Eddy Yusuf (DUN Dusun Tua); Syerleena Abdul Rashid (DUN Seri Delima) dan Jamaliah Jamaluddin (DUN Damansara).

Mungkinkah dalam kalangan mereka ada lagi yang akan ditonjolkan di peringkat Parlimen?

Related posts

Leave a Comment