5 kes: 3 import, 2 tempatan

LIMA lagi kes baharu dicatatkan menjadikan  jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kepada 8,663 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes aktif  tersebut empat kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,465 kes, dengan peratus kes pulih sepenuhnya mencecah 97.7 peratus.

Daripada lima kes baharu itu, tiga kes adalah kes import melibatkan dua warga Malaysia dan satu kes bukan warganegara, manakala dua lagi adalah kes penularan dalam negara membabitkan warga Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memberitahu, dua kes penularan dalam negara dikesan melalui saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah dan pusat perubatan di Seremban, Negeri Sembilan. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sejak 15 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal 121 kes, iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini terdapat dua kes positif yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, beliau mengumumkan bahawa dua kluster berkaitan tempat kediaman iaitu Kluster Gombak dan Kluster Pangsapuri Cheras, telah tamat hari ini.

Kluster Gombak dilaporkan pada 18 Mei 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah kuarters kediaman di Gombak. Sehingga 4 Julai 2020, 200 orang disaring dan didapati lima kes positif melibatkan warga Malaysia.

Kluster Pangsapuri Cheras dilaporkan pada 1 Jun 2020 hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif kes positif Covid-19 di sebuah pangsapuri di Cheras. Sehingga 4 Julai 2020, 144 orang disaring dan didapati lapan kes positif. Kluster ini melibatkan satu kes positif warga Indonesia manakala selebihnya warga Malaysia.

Related posts

Leave a Comment