PBM bertanding guna logo sendiri

SIBU 27 Okt. – Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menggunakan lambang partinya sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan melihat semula pemohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengasas PBM Larry Sng Wei Shien melalui satu hantaran di laman Facebook berkata, keputusan itu dibuat selepas BN tidak memberikan kata putus berkenaan permohonan parti itu untuk menyertai gabungan berkenaan.

Katanya PBM mungkin tidak hanya bertanding di kerusi yang disandang ahlinya sahaja dan tidak semua penyandang akan diletakkan sebagai calon pada pilihan raya itu.

Sng dalam satu hantaran lain berkata,  beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Julau atas tiket PBM dan menegaskan beliau sehingga kini masih presiden parti tersebut.

“Sebagai presiden parti, saya tidak pernah letak jawatan daripada jawatan saya mahupun membatalkan keahlian parti saya. Parti ini mempunyai asas berasal dari Sabah dan Sarawak. Ia penting untuk suara dan perwakilan kami tidak diabaikan atau dipinggirkan,” katanya.

Sng juga akan mengumumkan perkara berkaitan dengan status PBM dan calon-calon lain parti itu dalam masa beberapa hari lagi.

Justeru, segala pengumuman yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti tersebut sebelum ini hanyalah spekulasi semata-mata.

Pada PRU14 pada 2018, Sng memenangi kerusi Parlimen Julau sebagai calon Bebas, dan kemudian menyertai PKR selepas pilihan raya itu dan Februari tahun lepas,  keluar daripada PKR dan pada 8 Januari lalu dipilih sebagai Presiden PBM.

Menjawab soalan pemberita dalam ruangan komen berkaitan sama ada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin adalah Presiden PBM dalam senarai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), beliau menjawab: “tidak”.

Pada 8 Oktober , Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, Zuraida kini menerajui PBM setelah dilantik sebagai presiden baharu parti itu, menggantikan Sng.

Pelantikan Zuraida katanya, dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung sehari sebelum itu, setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Oktober lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai Presiden PBM.

Related posts

Leave a Comment