KUALA LUMPUR 11 Sept. – Pemilik dan pengusaha premis makanan bukan Islam tidak perlu diwajibkan untuk memohon sijil halal, kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), J Govindasamy.
Sebaliknya beliau berkata keputusan mahu mendapatkan sijil halal atau tidak, harus diserahkan kepada pengusaha dan pemilik restoran berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, restoran yang tidak mengutamakan pelanggan Islam seharusnya dibenarkan beroperasi tanpa sijil halal.
Beliau mengakui sijil halal adalah langkah yang baik untuk perniagaan kerana ia memberi kelebihan selain meningkatkan pendapatan.
Bagaimanapun, sijil halal juga ada kalanya membebankan dan menyebabkan pemilik perniagaan restoran memindahkan kos kepada pelanggan melalui kenaikan harga makanan.
Beliau berkata, ketika ini semua restoran perlu mendapatkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terus dipantau oleh jabatan kesihatan.
Katanya, kualiti makanan dan pemeriksaan kebersihan juga dilakukan secara berkala oleh pelbagai pihak berkenaan.
“Pemeriksaan tahunan dan pemarkahan oleh PBT turut memberi kelebihan kepada pengusaha restoran, selain maklum balas pengguna secara dalam talian,” katanya.
Nnn
