Tony Pua tidak tinggal pasukan

KELANA JAYA 27 Okt. – Walaupun tidak bertanding pada kali ini, Tony Pua yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Damansara mewakili DAP, tidak akan meninggalkan pasukannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang percaya kepada pasukan dan perubahan, akan terus memainkan peranan membantu jentera pilihan raya.

Semalam Tony Pua, mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15, satu keputusan yang menyakitkan tetapi dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Anthony Loke, Govind Singh Deo dan lain-lain ada cuba memujuk saya terus bertanding tapi ini keputusan saya yang sudah difikirkan bertahun-tahun untuk berundur (sebagai Ahli Parlimen),” katanya pada majlis makan malam pengumpulan dana Parlimen Damansara, di sini malam tadi.

Pada PRU lalu, beliau memperoleh 121,283 undi, menang dengan majoriti 106,903 mengalahkan calon BN yang memperoleh 14,380 undi dan PRM 617.

Menurut Pua, pada PRU ini, beliau akan berperanan dalam jentera publisiti parti.

“Saya tahu kekuatan dan kelemahan saya. Saya akan gunakannya untuk manfaat parti mencapai matlamat dan bagi PRU kali ini.

“Saya gembira untuk memberi sumbangan dalam dasar dan pelaksanaannya. Apabila kita menang sebagai kerajaan, saya akan membantu menteri DAP memperkasakan ekonomi dan Malaysia,” katanya.

Pada pemilihan jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) sebelum ini, beliau gagal mendapat tempat, satu keputusan yang tidak dijangka selepas 14 tahun menduduki jawatankuasa berkenaan.

Dalam pemilihan itu, Pua memperoleh 744 undi manakala Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming ketika itu mendapat 535 undi.

“Walaupun saya tidak menjangkakan undian yang sangat tinggi hari ini (Ahad), saya pastinya tidak menjangkakan akan terlepas tempat, terutamanya dalam CEC yang diperbesarkan. Sudah pasti ia mengecewakan, tetapi saya menerima keputusan perwakilan parti dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Related posts

Leave a Comment