KL ‘wilayah bebas berniaga‘

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ yang memberi peluang kepada sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata mereka boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya.

Bagaimanapun peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.

“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya.

Annuar berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara mengenai perkara itu agar pihak berkenaan memberi kerjasama dengan melakukan pemantauan di peringkat komuniti.

Beliau mengingatkan para peniaga agar tidak berniaga di lokasi yang boleh mengancam keselamatan awam, menyebabkan kesesakan lalu lintas, dan perlu menjaga kebersihan di sekitar ibu kota.

Annuar sebelum itu menyerahkan bantuan gerai, lesen penjaja dan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat kepada Nurjahan Mariamah Abdullah, 45, yang hilang pekerjaan sebagai tukang cuci akibat Covid-19 dan kini terpaksa menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa, di sini.

Kisah ibu tunggal dikenali sebagai Puan Mary yang perlu menanggung tiga anak dan ibunya, mula tular sejak beberapa minggu lepas dan mendapat perhatian ramai, termasuk Annuar dan DBKL.

Sementara itu, Nurjahan Mariamah melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberi dan beliau bertekad akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup.

Related posts

Leave a Comment