PN tak tanding 222 kerusi

MASJID TANAH 23 Okt. –  Selepas dilaporkan akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tampil menjelaskan hanya bertanding sejumlah kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, laporan media kelmarin, bahawa PN akan bertanding di semua 222 kerusi, tidak tepat.

“Ada laporan media, saya kata PN akan bertanding di 222 kerusi, tidak tepat. Kita akan bertanding majoriti yang sejumlah kerusi yang kalau kita menang, kita boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRN15) PN pada program Jelajah Prihatin Parlimen Masjid Tanah di Kampung Paya Lebar, di sini, lewat malam tadi.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan menjelaskan jumlah sebenar kerusi yang bakal ditandingi PN.

Media termasuk Berita Bersatu kelmarin melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, PN akan bertanding di 222 kerusi termasuk 27 kerusi kritikal.

Presiden Bersatu itu dilaporkan memberitahu pemberita pada Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan 32 tahun Pentadbiran Membangun Islam di di pekarangan Stadium Sultan Muhammad V, di Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, pada program malam tadi, Muhyiddin turut mengumumkan calon pertama PN, iaitu Mas Ermieyati Samsudin yang akan mempertahankan kerusi Masjid Tanah manakala calon lain akan diumumkan Pengerusi PN negeri masing-masing, beberapa hari sebelum penamaan calon.

Pada PRU14 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan 22,898 undian ketika menentang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Sabirin Jaafar mewakili PKR dan calon Pas, Mohd Nasir Othman.

Mengenai manifesto PN, Muhyiddin berkata, beliau sudah menerima draf manifesto yang mengetengahkan beberapa aspek utama berkaitan pemulihan ekonomi negara dan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

“Yang paling utama, apabila kita bentuk kerajaan, kita betulkan masalah ekonomi kerana ramai rakyat yang susah, soal pulihkan perniagaan, wujudkan peluang pekerjaan dan seumpamanya.

“Kita lihat bagaimana hendak bantu rakyat yang sebahagiannya jatuh miskin tak kira apa kaum,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedia berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kerjasama pada PRU15, Muhyiddin berkata, ia terpulang kepada mereka.

“Itu terserah kepada mereka sama ada mereka boleh bekerjasama, saya tak berhak komen,” katanya.

Related posts

Leave a Comment