Cerita politik pak lebai dan durian

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Istilah ‘pak lebai’ dan ‘durian’ terus mewarnai suasana politik melibatkan dua parti Melayu Islam – UMNO dan Pas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hari ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti yang memandang rendah Barisan Nasional (BN) dengan gelaran haiwan dan tumbuhan melenting mendengar istilah `pak lebai’.

“Sendiri makan cili, sendiri terasa pedas. Bukankah istilah `pak lebai’ lebih harmoni berbanding gelaran `itik’ dan ‘durian’,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid menjelaskan istilah `pak lebai’ dalam konteks politik bukan beliau yang cipta, sebaliknya dipopularkan oleh sahabat baru Pas pada tahun 2017 iaitu bekas Timbalan Presiden PKR merangkap bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Beliau kini merupakan Pengarah Pilihan Raya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang pemimpin Pas sedang tumpahkan taat setia.

“Jadi seharusnya pemimpin Pas bertanya kepada pengarah pilihan raya gabungan baharu mereka mengenai istilah `pak lebai’. Bagaimana beliau memperoleh ilham tersebut dan mengapa beliau ‘menobatkan’ Pas sebagai parti ‘pak lebai’,” katanya.

Kesimpulannya Ahmad Zahid berkata jangan kerap melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif kerana berasa diri terlalu suci murni.

“Sehinggakan UMNO/BN enggan memenuhi faedah dan manfaat mereka digelar sebagai haiwan dan seumpamanya. Sedangkan mereka sendiri tidak suka dikaitkan dengan sesuatu gelaran walaupun hanya `pak lebai’,” katanya.

Beliau juga menasihatkan Pas menggunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik.

Related posts

Leave a Comment