Dedah maklumat, fakta, dokumen kerajaan

PUTRAJAYA 22 Okt – Beberapa petikan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy Thomas, didapati mendedahkan maklumat, fakta dan dokumen kerajaan.

Pasukan Petugas Khas (STF) siasatan ke atas dakwaan dalam buku itu berkata, ia termasuk komunikasi dan perbincangan antara bekas Peguam Negara itu dan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri serta Ketua Hakim Negara.

Turut didedahkan, prosiding dalam Lembaga Pengampunan dan rundingan antara kerajaan mengenai pertikaian berkaitan kontrak seperti ‘kontrak saluran paip.’

Petikan itu berkaitan komunikasi antara Tommy, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, sebelum beliau secara rasmi dilantik sebagai Peguam Negara atau ketika memegang jawatan itu.

Ia membabitkan komunikasi yang boleh memberi kesan kepada rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan pihak ketiga, yang mempunyai pertikaian kontrak dengan kerajaan, serta antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak mengenai perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pendedahan (dalam petikan terbabit) juga berkaitan dengan prosiding Lembaga Pengampunan dan Jawatankuasa Kabinet serta pelbagai jawatankuasa kecil mengenai MA63 dan prosiding yang diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia”

Berkaitan rundingan kontrak saluran paip, pendedahan itu memberi kesan kepada rundingan yang berjalan walaupun selepas beliau meletak jawatan.

STF berkata, pendedahan Tommy menunjukkan beliau kurang integriti dan gagal mengekalkan kerahsiaan komunikasi, terutama apabila Perdana Menteri memberitahu dengan jelas apa yang dikatakan kepadanya mengenai bantahan pihak tertentu terhadap pelantikannya sebagai Peguam Negara perlu dirahsiakan.

Selain itu, katanya, adalah tidak wajar bagi Tommy mendedahkan Yang di-Pertuan Agong membantah pelantikannya.

Selepas analisis terperinci mengenai pendedahan itu, STF berpandangan, beberapa undang-undang dan peraturan dilanggar oleh Tommy, termasuk Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

STF turut mengesyorkan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Vinayak Pradhan sebagai pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Melalui buku itu, ada bukti kukuh menunjukkan hubungan rapat antara Tommy dan Vinayak yang bermula sejak sekolah menengah.

Tommy dalam menganugerahkan jawatan itu kepada Vinayak, tidak mengendahkan undang-undang, amalan dan prosedur, termasuk mengenepikan kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), VK Liew dan merampas kuasa beliau, dan paling penting melanggar Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Related posts

Leave a Comment