Perak barisan hadapan Pakatan Harapan

IPOH 21 Okt. –  Pakatan Harapan (PH) menjadikan Perak sebagai barisan hadapan dalam perjuangan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)mpada 19 November ini, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Katanya, Perak mempunyai potensi ekonomi yang hebat dan setanding dengan negeri-negeri yang kini di bawah pimpinan PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Justeru katanya sekiranya PH berjaya memenangi semua kerusi yang dipertandingkan, Perak mampu diangkat sebagai sebuah gergasi ekonomi baharu.

Berucap pada Konvensyen Harapan di sini semalam, Anwar turut mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dan keputusan itu dibuat sebagai menyahut cabaran untuk bertanding di kerusi bukan tradisi PH seperti pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

“Saya bukan tawan kerusi kita yang mudah, tetapi saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya.Perak akan jadi barisan hadapan dalam perjuangan pilihan raya kali ini. Sebab itu saya akan ‘berlabuh’ di Tambun,” katanya.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PH iaitu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Anwar juga berkata hasratnya untuk bertanding di Perak adalah sebagai usaha ‘membersihkan kekotoran’ politik di negeri itu.

“Titah Sultan Perak berulang kali… bahawa ketegasan Tuanku yang sebenarnya bosan dengan sikap dan kerakusan gelojoh tokoh-tokoh politik. Malu kalau kita jadi orang politik yang disamakan dengan mereka.

“Jadi saya mahu beritahu dan akan mempersembahkan kepada tuanku Sultan Perak bahawa kami sama-sama akan membersihkan politik negeri Perak,” katanya

Berikutan keputusan Anwar itu, Presiden PKR itu dijangka berdepan dengan penyandang kerusi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu selepas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu disebut-sebut akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 5,320 undi selepas memperoleh 38,661 undi menewaskan calon BN, Ahmad Husni Hanadzlah yang memperoleh 33,341 dan Ibrahim Zakaria (Pas) dengan 14,948 undi.

Related posts

Leave a Comment